POLIS TAHAN DUA INDIVIDU, RAMPAS DADAH LEBIH RM400,000 DI SIBU

ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
02/09/2026 08:33 PM

SIBU, 2 Sept (Bernama) -- Polis menahan dua individu dan merampas  dadah disyaki ketamin seberat kira-kira 2.89 kilogram dan 8,400 pil disyaki Erimin 5 bernilai keseluruhan RM412,351 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambir di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dalam operasi kira-kira pukul 5 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu  menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan, kedua-duanya berusia 21 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 840 papan kerajang timah berwarna merah dan perak, masing-masing mengandungi 10 pil disyaki Erimin 5.

“Jumlah keseluruhan pil yang dirampas ialah 8,400 biji dengan anggaran berat kasar 2,677.46 gram.

“Turut dirampas enam bungkusan kertas berwarna hitam yang mengandungi bungkusan kertas biru, masing-masing berisi ketulan kristal disyaki ketamin dengan anggaran berat kasar 2,891.81 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA