SARAWAK SASAR KAPASITI PENJANAAN ELEKTRIK 15,000 MW MENJELANG 2035

File Photo
19/10/2026 06:30 PM

KUCHING, 19 Okt (Bernama) -- Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 15,000 megawatt (MW) menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata bagi mencapai sasaran itu, tiga projek utama berkapasiti keseluruhan 3,285 MW sedang dilaksanakan, iaitu projek hidroelektrik Baleh, Samalaju Combined Cycle Power Plant (CCPP) dan Miri Combined Cycle Gas Turbine (CCGT). 

“Hidroelektrik Baleh dengan kapasiti 1,285 MW dijangka beroperasi pada suku keempat 2029. Samalaju CCPP berkapasiti 1,500 MW pula dijadualkan beroperasi secara berperingkat, dengan Blok 1 dan 2 berkapasiti keseluruhan 1,000 MW dijangka beroperasi pada suku kedua 2027.

“Blok 3 berkapasiti 500 MW pula dijadualkan beroperasi pada suku pertama 2027. Miri CCGT berkapasiti 500 MW kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 63 peratus dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2027,” katanya.

Julaihi berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai Battery of ASEAN melalui pembangunan Borneo Power Grid dan ASEAN Power Grid.

“Pada masa ini, Sarawak mengeksport secara purata 100 MW ke Kalimantan Barat dan 30 MW ke Sabah. Kerajaan turut merancang eksport elektrik ke Brunei dengan sekurang-kurangnya 30 MW, Singapura tidak melebihi 1,000 MW dan Semenanjung Malaysia tidak kurang daripada 1,000 MW.

“Projek sambung tara ke Brunei masih dalam rundingan dan kajian kebolehlaksanaan, Singapura dalam kajian tinjauan kabel dasar laut, manakala Semenanjung Malaysia dalam perbincangan awal,” katanya.

-- BERNAMA