TDM GAGALKAN CUBAAN SELUDUP ROKOK BERNILAI RM83,300 DI SERIKIN
KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup 2,450 karton rokok bernilai RM83,300 ke negara jiran menerusi Ops Keris Parang di Serikin, Bau dekat sini, awal pagi tadi.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan memaklumkan pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda mencurigakan menuju ke laluan haram di sempadan Malaysia-Indonesia kira-kira 5 pagi.
“Kenderaan itu ditahan kira-kira 400 meter dari sempadan negara. Bahagian belakangnya ditutup dengan kanvas biru dan pemeriksaan menemukan pelbagai barangan terkawal serta barangan runcit tanpa dokumen perjalanan atau dokumen pengesahan muatan yang sah,” menurut kenyataan itu.
Selain rokok, pasukan operasi turut merampas dua telefon bimbit bernilai RM1,500, satu beg selempang dan kenderaan pacuan empat roda itu dianggarkan bernilai RM110,000.
“Pemandu kenderaan yang juga lelaki warga tempatan ditahan dan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bau bersama-sama barang rampasan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
1 Div menyeru masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berhubung jenayah rentas sempadan untuk tindakan sewajarnya diambil.
-- BERNAMA
