JEREBU: SEMUA SEKOLAH DI SARAWAK BUKA ESOK, AKTIVITI LUAR DIHENTIKAN JIKA IPU LEBIH 100
KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sarawak, akan beroperasi seperti biasa esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekolah dan institusi pendidikan yang berada dalam kawasan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, hendaklah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dan pelajar.
“Murid dan pelajar yang hadir ke sekolah, digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah menjaga kesihatan susulan keadaan jerebu semasa.
“Ibu bapa dan penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak bawah jagaan masing-masing ke sekolah, sekiranya terdapat kebimbangan terhadap kesihatan anak-anak susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak, dengan membuat pemakluman kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu.
Semalam, JPN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan kesemua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup sementara dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.
-- BERNAMA
