I-CATS NAIK TARAF KEPADA UNIVERSITI PENUH, KPT SOKONG PERLUASAN PROGRAM TEKNOLOGI TINGGI
KUCHING, 20 Okt (Bernama) -- Kolej Universiti i-CATS (i-CATS) kini secara rasminya menggalas status universiti penuh berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menyokong pembangunan modal insan dan industri berteknologi tinggi di Sarawak.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penarafan status universiti penuh itu membolehkan i-CATS memperluaskan penawaran program akademik, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tinggi bagi menepati keperluan industri di negeri berkenaan.
“Pihak kami juga mendengar daripada Premier Sarawak berkaitan hasrat beliau untuk melihat kursus-kursus yang mempunyai kepentingan dengan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi tinggi.
“Untuk itu, kami akan menyelaraskan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan segala perancangan yang dibuat pihak universiti diselaraskan bersama dan kami akan memberikan kelulusan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pengiktirafan Status Universiti Penuh i-CATS di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang turut disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Zambry berkata nama baharu bagi universiti berkenaan akan diumumkan secara rasmi oleh Abang Johari dalam masa terdekat.
Beliau turut memaklumkan institusi berkenaan kini dalam perancangan untuk membangunkan sebuah kampus baharu bagi menampung perkembangan akademik serta penambahan penuntut pada masa hadapan.
Sementara itu, Zambry ketika mengulas mengenai perkembangan isu keselamatan pelajar Malaysia di Paris, Perancis, susulan insiden rusuhan mengesahkan KPT setakat ini tidak menerima sebarang laporan kecederaan melibatkan pelajar Malaysia.
“Kami telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Luar. Dari segi nasihat dan perkara penting yang perlu dilakukan, ia telah pun dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia secara amnya dan pelajar kita yang belajar di sana supaya tidak melawat tempat-tempat yang terlibat dalam rusuhan itu.
“Sekiranya keadaan semakin meruncing, sudah tentu Kementerian Luar akan mengambil langkah seperti memindahkan pelajar-pelajar kita ke tempat selamat,” katanya.
-- BERNAMA
