SARAWAK SEDIA PERTIMBANG BINA PUSAT SENI PERSEMBAHAN DI SIBU
SIBU, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak sedia mempertimbangkan pembinaan sebuah pusat seni persembahan di Sibu susulan komitmen dan keupayaan bandar itu menganjurkan acara seni persembahan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kemudahan itu penting bagi menyediakan ruang sesuai kepada penggiat seni tempatan untuk mengembangkan aktiviti dan industri kreatif di bandar itu.
Cadangan itu juga bertepatan dengan komitmen Sibu dalam menganjurkan acara seni persembahan antarabangsa termasuk Sibu International Dance Festival (SIDF) yang kini memasuki edisi ke-12.
“Melihat kepada minat, dedikasi dan komitmen warga Sibu menjayakan persembahan seperti ini sehingga memasuki edisi ke-12, saya percaya dan berharap sebuah pusat seni persembahan dapat dibina di Sibu.
“Pihak berkenaan boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk pembinaan pusat tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan SIDF 2026 di sini malam tadi.
Abdul Karim berkata Kerajaan Negeri Sarawak sedang membangunkan Pusat Seni Persembahan Sarawak di Kuching dengan jangkaan siap menjelang penghujung tahun depan bagi menyokong perkembangan industri seni persembahan di negeri itu.
Mengenai SIDF ke-12, beliau memuji usaha Hornland Dance Theatre selaku penganjur kerana berjaya menghimpunkan ratusan penari, koreografer dan penggiat budaya dari dalam dan luar negara termasuk Brazil dan Mauritius.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama-sama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan terus meningkatkan sokongan terhadap penganjuran festival itu pada masa akan datang.
“Usaha berterusan anda bukan sahaja meningkatkan profil Sibu sebagai pusat seni dan budaya, malah turut menyumbang secara signifikan kepada perkembangan pelancongan budaya di Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
