KESAN PELURU JADI SAKSI BISU TRAUMA KONFRONTASI PENDUDUK KAMPUNG MUJAT
SERIAN, 22 Julai (Bernama) -- Kesan peluru yang masih jelas kelihatan pada dinding rumah panjang Kampung Mujat menjadi saksi bisu detik cemas yang dilalui penduduk kampung itu ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia, termasuk Biat Tajap, 74, yang ketika itu baru berusia 10 tahun.
Lebih enam dekad berlalu sejak konflik yang tercetus susulan penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia pada 1963, namun kenangan pahit yang dialami penduduk di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat masih segar dalam ingatan bapa kepada lima anak itu.
“Sebelum konfrontasi, kehidupan kami seperti biasa. Tiba-tiba tentera Indonesia datang dan tembak dari arah belakang kampung. Saya masih bersekolah ketika itu dan sangat takut apabila mendengar bunyi tembakan pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Mujat baru-baru ini.
Kampung Mujat yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia dan mempunyai sejarah penempatan sejak sekitar 1930-an, sekali gus menjadikannya antara kawasan yang paling terkesan sepanjang Konfrontasi Malaysia-Indonesia.
Menurut Biat, antara insiden yang tidak pernah luput daripada ingatannya ialah apabila seorang wanita kampung yang sedang menyelamatkan diri bersama bayi kecilnya terkena tembakan, namun terselamat.
Beliau berkata demi keselamatan, hampir keseluruhan penduduk meninggalkan rumah panjang dan membina pondok sementara di kawasan hutan berhampiran.
“Kami tinggal di pondok-pondok kecil. Rumah panjang boleh dikatakan kosong. Budak-budak termasuk saya dan kawan-kawan lain semuanya takut.
“Dulu semasa perang tidak ada yang keluar bermain dengan kawan-kawan. Kami hanya bersembunyi di dalam hutan dan duduk diam-diam di pondok,” katanya.
Biat berkata kehidupan dalam persembunyian bukan sahaja diselubungi kebimbangan, malah serba kekurangan apabila bekalan makanan dan air bersih sukar diperoleh.
“Kami ambil air sungai untuk memasak dan minum. Makan pula apa yang ada sahaja seperti ubi, sagu, rebung dan hasil hutan lain. Yang penting dapat meneruskan hidup,” katanya.
Selepas keadaan kembali reda pada 1965, beliau berkata penduduk yang berlindung di hutan mula pulang ke kampung secara berperingkat.
Biat berkata kawasan Kampung Mujat dan kampung berhampiran seperti Kampung Mongkos turut menjadi lokasi pergerakan tentera Malaysia dan British yang mengawal sempadan bagi mengekang pencerobohan.
Beliau berkata pengalaman itu mengajar penduduk kampung menghargai nikmat keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia hari ini, meskipun mereka mengambil masa untuk pulih daripada trauma akibat konflik berkenaan.
Enam dekad lalu, penduduk Kampung Mujat di sempadan Malaysia-Indonesia hidup dalam ketakutan akibat bunyi tembakan dan ancaman pencerobohan tentera. Namun hari ini, kawasan sempadan yang pernah menjadi medan konflik itu menjadi lambang hubungan persaudaraan yang erat antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
Menurut Biat, penduduk yang mendiami kedua-dua belah sempadan kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga selain berkongsi latar belakang etnik yang sama, sekali gus memastikan hubungan mereka terus utuh meskipun pernah dipisahkan oleh konflik.
“Kami memang bersaudara. Masa itu yang bermasalah hanya tentera. Penduduk di sini dan di sana tetap berbaik-baik. Sampai sekarang kami masih saling berkunjung, termasuk ketika sambutan Gawai dan acara keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
