OPS MEGA: 175 WARGA INDONESIA DITAHAN DI MIRI

Credit: Sarawak Immigration Department
16/07/2026 06:12 PM

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 175 warganegara Indonesia dalam Ops Mega di sebuah penempatan pekerja di Linau Mewah Estate, Miri semalam.

JIM Sarawak memaklumkan operasi bersepadu bermula 11.35 malam itu bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang berkaitan imigresen.

“Sebanyak 250 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dan hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 175 warga Indonesia disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Daripada jumlah yang ditahan, 90 lelaki, 53 wanita dan 32 kanak-kanak,” menurut JIM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

JIM Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran warga asing yang melanggar peraturan imigresen di negeri ini.

-- BERNAMA