WANITA MAUT, DUA CEDERA KERETA DINAIKI KEMALANGAN DENGAN LORI

03/05/2026 07:48 PM

MIRI, 3 Mei (Bernama) -- Seorang  wanita maut, manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di simpang Long Laput, kira-kira enam kilometer dari Jalan Long Lama, Baram, Marudi hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati seorang wanita berusia 41 tahun tersepit di bahagian pemandu kereta jenis Proton Persona dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

“Manakala dua lagi penumpang kenderaan itu iaitu seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan mengalami kecederaan. Mereka telah dihantar ke hospital berhampiran dengan ambulans sebelum ketibaan pihak bomba,” menurut kenyataan itu.

JBPM memaklumkan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan berusia 46 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA