PEMBANGUNAN SEMULA BUKIT ASSEK UBAH SIBU JADI PUSAT BANDAR MODEN
KUCHING, 26 Nov (Bernama) -- Projek pembangunan semula Bukit Assek merupakan pelan transformasi jangka panjang yang akan mengubah Sibu menjadi pusat bandar moden, berdaya tahan dan menarik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata pelan induk projek sedang dimuktamadkan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama perunding antarabangsa Ramboll.
Beliau berkata selepas pelan induk siap dan diluluskan, ia akan dilaksanakan melalui peta hala tuju komprehensif antara 15 hingga 20 tahun bermula 2026.
“Komitmen kerajaan negeri ini mencerminkan matlamat untuk memastikan Sibu membangun menjadi bandar moden yang mempunyai identiti sendiri, mengintegrasikan infrastruktur mampan, mitigasi banjir dan pertumbuhan ekonomi dengan keperluan rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Chieng berkata kawasan pembangunan semula telah diperluas daripada 201 hektar kepada 335 hektar yang juga melibatkan zon tebing sungai dan paya untuk memastikan perancangan lebih menyeluruh dan bersifat jangka panjang.
Peluasan itu juga membolehkan pembangunan infrastruktur yang sistematik untuk menangani isu banjir yang berlarutan selain membuka potensi nilai tanah untuk pembangunan komersial, kediaman dan komuniti.
“Limpahan ekonomi projek itu akan melangkaui Bukit Assek dengan potensi merancakkan sektor pembinaan dan perkhidmatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Chieng berkata LCDA telah mempamerkan projek itu pada Sarawak Mega Fair 2025 di Singapura yang meletakkan Bukit Assek sebagai pusat tumpuan pelaburan antarabangsa dan menonjolkan potensi negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
-- BERNAMA
