EKSESAIS KEKAR MALINDO SIRI 48AB/2025 BERMULA HARI INI
KUCHING, 3 Nov (Bernama) -- Eksesais Kekar Malindo bagi siri 48AB/2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD), diadakan bermula hari ini dengan acara pembukaaan berlangsung di Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) Kem Pakit, Sri Aman.
Sel Risik Markas 3 Briged dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan bilateral tersebut, melibatkan pasukan 13 Rejimen Askar Malaysia Diraja mewakili 3 Briged dan Batalion Infantri 641/Beruang (Yonif 641/BRU) mewakili Brigif 19/KH.
Eksesais yang berlangsung selama 10 hari itu, melibatkan fasa kelas teori, latihan silang dan latihan medan FTX (CIW) di kawasan am Bayai, Sri Aman.
“Eksesais ini merupakan latihan tahunan antara TDM dan TNI-AD bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama melalui perkongsian ilmu pengetahuan, doktrin serta taktik, teknik dan prosedur dalam operasi infantri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria dan Komandan Briged Infantri 19/Khatulistiwa (Danbrigif 19/KH) Kol Inf Misael Marthen Jenry Polii, menyempurnakan upacara pembukaan eksais tersebut dengan dengan upacara Pemakaian Toha kepada peserta eksesais.
“Pelaksanaan eksesais bilateral ini selaras dengan Teras Kelima Perintah Ulung PTD Ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan, yang mempertingkatkan usaha dalam aspek latihan bersama negara-negara sahabat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
