DIALOG AWAM CLRC CERMIN KOMITMEN KE ARAH REFORMASI PERUNDANGAN JENAYAH

11/06/2025 08:31 PM

KUCHING, 11 Jun (Bernama) -- Sambutan memberangsangkan sepanjang sesi dialog awam atau town hall anjuran Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Kanun Keseksaan [Akta 574], Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan Akta Keterangan 1950 [Akta 56] (CLRC) di Sarawak menjadi bukti relevansi inisiatif berkenaan kepada rakyat dan mencerminkan komitmen kolektif ke arah reformasi perundangan jenayah.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, dialog awam yang diadakan di sini hari ini, dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang juga Pengerusi CLRC dan Timbalannya Hakim Mahkamah Rayuan Datuk P. Ravinthran. 

Sesi berkenaan diadakan untuk mendengar cadangan dan pandangan daripada pihak berkepentingan, khususnya di Sarawak bagi pembaharuan undang-undang jenayah termasuk pengenalan kesalahan baharu, pindaan kepada aspek undang-undang keterangan, beban pembuktian dan hukuman, penambahbaikan kepada prinsip perbicaraan yang adil dan prosedur praperbicaraan sejajar dengan matlamat memperkukuh keadilan jenayah secara menyeluruh.

“Penyertaan memberangsangkan yang diterima di Sarawak mencerminkan komitmen semua pihak dalam sistem keadilan jenayah negara menjadi lebih responsif, adil dan berkesan, serta kekal berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak asasi individu,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif yang dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu adalah sebahagian daripada usaha konsultasi nasional yang komprehensif.

"Pendekatan inklusif ini menekankan penglibatan menyeluruh daripada lapisan masyarakat termasuk golongan rentan, komuniti profesional dan masyarakat sivil bagi menjamin pembaharuan undang-undang jenayah yang adil, saksama dan berteraskan suara rakyat,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif berkenaan juga selaras dengan usaha murni Kerajaan MADANI untuk memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, berkesan, dan adil dalam mendepani perkembangan teknologi, pembangunan sosioekonomi, ancaman-ancaman baharu, dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Ia juga bagi memberikan ruang yang lebih luas kepada orang awam untuk menyumbang pandangan apabila tempoh untuk mengemukakan maklum balas awam terhadap cadangan pembaharuan undang-undang jenayah di Malaysia telah dilanjutkan daripada 31 Mei 2025 kepada 15 Jun 2025. 

Jabatan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), institusi pengajian tinggi, Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak (AAS), ahli-ahli jawatankuasa CLRC dan para penyelidik yang terlibat atas segala sumbangan cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan.

Menurut kenyataan itu, sesi dialog awam yang berlangsung di Sarawak ialah penutup kepada siri jelajah Town Hall CLRC.

Penubuhan Jawatankuasa CLRC ialah satu inisiatif khas bagi menyemak dan mencadangkan pembaharuan terhadap tiga undang-undang utama, iaitu Akta 574, Akta 593, dan Akta 56 dalam tempoh 18 bulan secara berfasa.

Setakat ini, CLRC telah bersidang sebanyak dua kali bagi membincangkan hala tuju kajian dan pelaksanaan fasa-fasa reformasi yang dirancang.

Bagi memperkukuh pelaksanaan kajian terbabit, sebuah jawatankuasa Ad Hoc yang dianggotai pakar dalam bidang perundangan, penguatkuasaan, teknologi dan masyarakat sivil turut ditubuhkan untuk menyumbang input teknikal dan strategik secara berterusan bagi menjamin pembaharuan undang-undang jenayah yang adil, saksama dan berteraskan suara rakyat.

Pengerusi dan ahli kedua-dua jawatankuasa dilantik oleh Azalina sebagai cerminan iltizam Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi undang-undang yang menyeluruh.

-- BERNAMA