SARAWAK ENERGY, DHL JALIN KERJASAMA PERKASA ARTISAN PERIBUMI
KUCHING, 1 Jun (Bernama) -- Sarawak Energy menjalin kerjasama dengan DHL Express Malaysia dan Brunei untuk memperkasakan artisan peribumi komuniti luar bandar negeri ini bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui platform e-dagang dan sokongan logistik.
Sarawak Energy dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai pada 23 Mei lepas di Kuala Lumpur bagi melaksanakan Program Pemerkasaan dan Keusahawanan Artisan, yang bermatlamat mempertingkat kemahiran digital serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada golongan terpilih.
MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power Bunyak Lunyong serta Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo.
Penandatanganan itu disaksikan Naib Presiden Kanan (Perundangan dan Pematuhan) George Chapman, Pengurus Besar Pengurusan Impak Sosial SEB Jiwari Abdullah serta Pengaran Urusan DHL eCommerce Malaysia Saurabh Kumar.
Menerusi program berkenaan, 20 artisan daripada komuniti Bakun dan Murum akan menyertai sesi latihan selama seminggu bersama DHL dan TikTok Shop yang merangkumi asas e-dagang, pengurusan rantaian bekalan, penciptaan kandungan dan pengembangan perniagaan bagi membolehkan golongan berkenaan menembusi pasaran antarabangsa.
Berucap pada majlis berkenaan, Lunyong berkata gabungan kepakaran logistik DHL dengan platform digital akan meningkatkan pasaran, menyediakan peluang pembangunan kemahiran berterusan, memperluas capaian pelanggan, meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan, sekali gus memacu pemerkasaan sosial dan ekonomi.
“Kerjasama ini menandakan langkah penting komitmen Sarawak Energy terhadap tanggungjawab korporat, sejajar dengan teras pelaburan sosial kami dan matlamat lebih luas untuk mewujudkan nilai yang berterusan bagi komuniti peribumi luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Neo berharap penglibatan DHL dalam program berkenaan mampu membuka peluang pertumbuhan kepada golongan berkenaan di samping memulihara warisan budaya.
“Kami percaya perdagangan global mampu memperkasakan perniagaan kecil dan memacu kemajuan ekonomi komuniti. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sarawak Energy untuk menyediakan sokongan dan bimbingan yang diperlukan oleh artisan peribumi supaya mereka dapat berjaya di persada antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
