BOMBA BINTANGOR SASAR SIFAR KEBAKARAN RUMAH PANJANG SEMASA GAWAI

28/05/2024 07:34 PM

SARIKEI, 28 Mei (Bernama) -- Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menyasarkan kebakaran sifar rumah-rumah panjang di kawasan jagaannya menjelang perayaan Hari Gawai pada Sabtu ini dengan mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk melalui pengedaran risalah langkah keselamatan.

Ketua BBP Bintangor Nicholas Belulin berkata berdasarkan statistik pada tahun lalu hanya terdapat dua kes kebakaran di Daerah Pakan sebelum menjelangnya perayaan tersebut.

Menurutnya dengan pengedaran risalah tersebut dan rondaan yang akan dijalankan di kawasan rumah-rumah panjang diharapkan perayaan Hari Gawai tahun ini mencatatkan kebakaran sifar kes dan seterusnya membolehkan penduduk menyambutnya dengan meriah dan selamat.

“Terdapat 10 rumah panjang di Daerah Julau dan Daerah Pakan terletak jauh dari balai bomba serta memerlukan masa respons yang lama untuk sampai ke lokasi berikutan tidak ada akses jalan raya dan terpaksa menggunakan feri atau bot,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kunjungan ke rumah panjang untuk mengagihkan risalah tersebut telah bermula semalam di Daerah Julau melibatkan Rumah Panjang (Rh) Jana Saweng, Batu Matup yang jaraknya 38 kilometer dari balai; Rh Fabian Unggang Pandang, Jalan Julau-Entabai, Sungai Sapi (52km); Rh Akun, Nanga Ayam Jalan Julau-Entabai (48km).

Beliau berkata, selebihnya diagihkan pada hari ini dan esok iaitu Rh Bidu Buda, Nanga Sangkong (48km) dan Rh Lugum Jenging, Nanga Taba, Ulu Kanowit (63 km), Julau.

Katanya, risalah juga akan diagihkan ke lima rumah panjang di Daerah Pakan iaitu Rh Bujang, Tebok, Jalan Wak (61km); Rh Indit Munang, Jalan Wak, Manding (51km); Rh Kunjan Karin, Nanga Buku, Jalan Wak (55km); Rh Rachak Padang, Nyalak Ladong (57km) dan Rh Berandah, Nanga Keluton, Entaih (72km).

Sementara itu Nicholas mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengawasi serta berwaspada ketika memasak juadah-juadah Hari Gawai bagi mengelakkan berlakunya kebakaran rumah panjang.

Katanya berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini, punca kebakaran rumah panjang menjelang perayaan itu adalah kerana aktiviti memasak tanpa pengawasan.

-- BERNAMA