HUJAN LEBAT AKIBATKAN SERPIHAN BALAK DI SUNGAI RAJANG - PENGARAH HUTAN S'WAK

06/03/2024 04:39 PM

KUCHING, 6 Mac (Bernama) -- Taburan hujan lebat setempat di kawasan tadahan Ulu Katibas di Bahagian Kapit telah menyebabkan serpihan besar balak dan dahan dihanyutkan ke Sungai Rajang di tengah Sarawak sejak beberapa hari lepas. 

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata berdasarkan data satelit yang diperoleh Ahad lepas, terdapat kira-kira 10 tapak yang menjadi punca utama kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan hidrologi, intensiti tinggi hujan setempat yang berlaku di kawasan tadahan itu boleh menyebabkan tanah runtuh di sepanjang Sungai Nyawai, Sungai Takai dan Sungai Kalimau Besai yang merupakan tiga sungai dalam tadahan Ulu Katibas.

"Sehingga kini kejadian runtuhan ini berada di Taman Hidupan Liar Lanjak Entimau yang tiada aktiviti pembalakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Hutan Tropika Secara Berkekalan di sini, hari ini.

Akhbar tempatan melaporkan serpihan itu menyukarkan perjalanan bot kecil, termasuk perkhidmatan bot laju yang membawa penumpang dari Dalat ke Sibu dan sebaliknya.

-- BERNAMA