APM SARAWAK JALANI LATIHAN AWAL, SIAP SIAGA HADAPI BANJIR

19/10/2023 01:15 PM

KUCHING, 19 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak hari ini mengadakan latihan EX-CON secara serentak di seluruh negeri itu sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah APM Sarawak Mohtar Samat berkata latihan awal itu dijalankan bagi memastikan semua logistik dan aset sedia untuk digerakkan ke tempat berlakunya kecemasan dan banjir.

“Latihan awal ini juga memberikan persediaan mental kepada anggota dan pegawai yang bertugas agar mereka dapat memberi respons dengan cepat dan tepat jika berlaku bencana banjir di Sarawak,” katanya selepas sesi latihan EX-CON di Tebingan Sungai Batu Kawa di sini.

Mohtar berkata dengan kekuatan anggota dan pegawai seramai 2,666 orang, selain sejumlah 116 bot pelbagai jenis dan saiz serta 16 ambulans pancuan empat roda, pergerakan atau koordinasi menyelamat mangsa banjir di kawasan ‘hotspot’ tidak akan mengambil masa yang lama.

“Semua daerah juga telah diletakkan bot di peringkat komuniti seperti di Selangau dan Marudi, kita sudah tahu kawasan yang biasa berlaku banjir contohnya di Kampung Rantau Panjang ini.

“Jika berlaku hujan berpanjangan, kita akan hantar pasukan untuk memantau dan memberikan amaran awal kepada penduduk yang terjejas agar bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk…kita tidak mahu bila sudah banjir baru pindah, memang bot tidak akan cukup,” katanya.

Menurutnya Ahli Parlimen di kesemua 31 kawasan Parlimen juga akan dimaklumkan tentang situasi semasa dan pelan tidakan yang dilaksanakan dalam menghadapi banjir.

--BERNAMA