RAKYAT BUMI KENYALANG TERUJA NANTIKAN KEDATANGAN AL-SULTAN ABDULLAH, TUNKU AZIZAH

Credit : FB Cikgu Emmet Menulis
06/09/2023 09:25 PM

KUCHING, 6 Sept (Bernama) -- Rakyat di Bumi Kenyalang kini hanya menghitung jam sebelum keberangkatan tiba rombongan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak bagi Kembara Kenali Borneo yang bermula esok di negeri itu.

Menjadi agenda yang dinanti-nantikan penduduk tempatan, keterujaan rakyat Sarawak terhadap program berkenaan dizahirkan di pelbagai platform media sosial termasuk Facebook sehingga ada yang berkongsi tip penggunaan bahasa yang betul seandainya berjumpa rombongan pasangan diraja itu nanti. 

Tidak asing dalam kalangan warga pendidik di Sarawak, pemilik akaun Facebook "Cikgu Emmet Menulis" atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Osman mengajak rakyat Sarawak yang berbilang etnik menyambut kunjungan Seri Paduka berdua dengan kepelbagaian bahasa yang dituturkan di negeri itu. 

“Malah, kita jajakan juga bahasa tempatan yang indah, contohnya jika Tuanku bersalaman dengan orang Iban, kita sambut dengan ungkapan ‘Selamat Datai Tuanku ke menoa kami’. Kalau di Serian atau Bau kita sambut dengan ‘Silamat Mandug Tuanku’ (bahasa Bidayuh).

“Kalau di Mukah ‘Selamet datang Tuanku’ dan kalau di Miri orang Kayan boleh sambut dengan ungkapan ‘Sayu Ateng Tuanku’. Biar Tuanku tahu keindahan kepelbagaian bangsa yang membina Sarawak ini dengan penuh toleransi, adab serta pekerti yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook, hari ini. 

Beliau turut berharap program seperti Kembara Kenali Borneo dijadikan sebagai acara wajib tahunan setiap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang memerintah Malaysia.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook Mohd Hafidz Ras dalam hantarannya memberi nasihat protokol tepat berhubung panggilan kerabat diraja bagi Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah serta anakanda baginda.

“Tak sabar rasanya menantikan keberangkatan (tiba) Agong dan Permaisuri serta putera puteri baginda ke Miri,” katanya.

Pemilik akaun Facebook Redwan Mohd Faizul dalam catatannya pula masih berharap agar Al-Sultan Abdullah dapat singgah di Limbang meskipun ia tidak termasuk dalam laluan Kembara Kenali Borneo.

“Kami hanya dapat menyaksikan gelagat yang mencuit hati semasa lawatan YDPA di jelajah Borneo ini menerusi media sosial seperti TikTok, Facebook dan sebagainya. Timbul perasaan cemburu di hati kami melihat gelagat mesra rakyat di tempat lain dengan rombongan YDPA,” katanya.  

Perjalanan Kembara Kenali Borneo Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Sarawak esok akan bermula dari bandar paling utara negeri iaitu Lawas dan diteruskan ke Miri pada 9 Sept, seterusnya ke daerah lain di negeri ini seperti Tatau, Bintulu, Sibu dan Sri Aman. 

Seri Paduka berdua bakal melengkapkan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer dengan membuat perjalanan ke Telok Melano pada 13 Sept ini yang merupakan tapak permulaan bagi Lebuh Raya Pan Borneo, sebelum kembali ke Kuching dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA