KERJASAMA PAKAR PENTING UNTUK SARAWAK HASILKAN PRODUK KAYU DARIPADA SUMBER BOLEH DIBAHARUI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
15/08/2023 10:40 AM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) perlu bekerjasama dengan tiga agensi negeri lain bagi memenuhi keperluan global dalam pengeluaran produk kayu daripada sumber boleh diperbaharui.

 Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata gabungan kepakaran yang dimiliki oleh STIDC, bersama Jabatan Tanah dan Ukur, Pertanian dan Perhutanan akan membolehkan negeri itu mencapai piawaian atau standard global semasa dan masa hadapan.

"Saya berpendapat  empat (agensi) ini yang perlu bekerjasama...tidak boleh bekerja secara berasingan atau bersendirian,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sambutan Jubli Emas STIDC di sini malam Isnin.

Walaupun negara pembeli perlu memenuhi syarat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ditetapkan oleh pembiaya mereka, beliau berkata Sarawak sebagai pembekal perlu melakukan bahagiannya untuk memastikan syarat ini dipenuhi.

“Hari ini, pembeli mahu kita menanam pokok bagi memastikan keadaan sekeliling kekal hijau dan kita adalah antara penyumbang ke arah ekonomi hijau. Justeru, kita perlu berubah, menyesuaikan diri dengan permintaan dan situasi yang dihadapi dunia,” katanya.

Abang Johari berkata walaupun Sarawak komited untuk menanam 35 juta pokok menjelang 2025 bagi memenuhi program penghijauan global sambil mengekalkan hutan semula jadinya tidak disentuh, kawasan-kawasan tertentu perlu diperuntukkan untuk tanaman hutan bagi menghasilkan sumber bahan mentah untuk aktiviti perkayuan hiliran.

Beliau berkata kebanyakan negara yang merupakan pembeli kayu dan produk kayu Sarawak telah mematuhi keperluan ESG, dan ini menjuruskan kepada perubahan pada rantaian nilai yang turut mempengaruhi negara pembekal.

Ini adalah antara sebab kerajaan negeri menggalakkan pemain industri perkayuan di Sarawak untuk melibatkan diri dalam penanaman pokok hutan, terutamanya spesies yang cepat tumbuh, yang boleh dijadikan sumber boleh diperbaharui untuk produk kayu, katanya.

“Tidak lagi seperti dahulu, hanya menebang pokok (tanpa ditanam semula), tetapi sekarang kita mesti mempunyai pendekatan yang sangat tersusun dalam industri perkayuan kita. Jika kita boleh mempunyai bahan mentah boleh diperbaharui ini daripada hutan yang ditanam, maka industri kita akan mampan,” tambahnya.

-- BERNAMA