INVESTSARAWAK, MARUBENI METERAI MOU UNTUK TEROKA PROJEK BAHAN API PENERBANGAN MAMPAN

15/05/2024 03:10 PM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- InvestSarawak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Marubeni Corporation, sebuah syarikat perdagangan dan pelaburan multinasional Jepun untuk memudahkan dan mempercepatkan minat Marubeni dalam projek bahan api penerbangan mampan (SAF) di Sarawak.

MoU ini akan menggariskan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk menjalankan kajian pra-kebolehlaksanaan bersama bagi rantaian nilai SAF berskala komersial di Sarawak, kata InvestSarawak dan Marubeni dalam satu kenyataan bersama.

“Matlamatnya adalah untuk mengesahkan kebolehlaksanaan menghasilkan SAF menggunakan bahan mentah biojisim dan menilai laluan teknologi yang berpotensi untuk pengeluaran SAF di Sarawak.

"Kedua-dua pihak menyasarkan untuk mewujudkan rantaian nilai SAF berskala komersial untuk kegunaan tempatan atau eksport menjelang tahun 2030," katanya.

Menurut kenyataan itu, MoU itu juga akan memberi tumpuan kepada menilai keperluan perbelanjaan, mengenal pasti tapak projek yang sesuai dan meneroka peluang untuk subsidi serta insentif kerajaan di Malaysia dan di peringkat global.

“Biojisim ialah bahan biologi yang berasal daripada tumbuhan atau haiwan termasuk kayu, sisa pertanian dan alga manakala SAF adalah jenis bahan api jet yang lebih bersih yang diperbuat daripada sumber boleh diperbaharui seperti mikroalga dan bukannya bahan api fosil.

“Projek biojisim boleh membawa kepada produk hiliran termasuk ammonia hijau yang digunakan dalam baja, biogas dan biofuel, gas boleh diperbaharui dan bahan api cecair untuk pengangkutan dan industri dan bahan kimia hijau, ia merupakan bahan mentah mesra alam untuk industri seperti plastik dan tekstil,” katanya lagi.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

-- BERNAMA