NILAI EKSPORT PRODUK KAYU SARAWAK TURUN SEMBILAN PERATUS SUKU PERTAMA TAHUN INI 

File photo
15/05/2024 01:43 PM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Sarawak merekodkan nilai eksport produk perkayuan sebanyak RM682 juta setakat suku pertama tahun ini berbanding RM752 juta pada tempoh sama tahun lepas iaitu penurunan sebanyak sembilan peratus.

Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan Sarawak dengan nilai RM387 juta atau 57 peratus.

“Pasaran utama lain ialah India sebanyak RM104 juta, China RM46 juta, Taiwan RM29 juta dan Filipina RM23 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Sementara itu, Awang Tengah berkata bagi menyokong aspirasi untuk mempromosikan ekonomi hijau, Sarawak juga mengeluarkan dan mengeksport kayu pelet.

Beliau berkata nilai eksport kayu pelet Sarawak bagi tempoh suku pertama tahun ini berjumlah RM22 juta, peningkatan sebanyak 118 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 yang bernilai RM10 juta.

"Kayu pelet merupakan bahan bakar mesra alam yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Pasaran utama kayu pelet Sarawak ialah Jepun dan Belanda. Produk kayu ini mempunyai potensi besar untuk pasaran dalaman juga eksport kerana kita mempunyai sumber bahan mentah yang mampan, peluang ini harus dimanfaatkan pemain industri perkayuan Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA