PENGELUAR JAGUNG MUDA DI SIBU TERIMA BANTUAN RACUN, BAJA
SIBU, 16 Mei (Bernama) -- Seramai 29 pengeluar jagung muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka hari ini menerima bantuan racun serangga perosak dan baja berjumlah RM290,000 dari kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee berkata bantuan tersebut bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan 28 penerima dari Rumah Bungan dan seorang penerima dari Rumah Dick yang merupakan pembekal terbesar tanaman itu di pasaran Sibu.
“Mereka menerima racun serangga perosak dan baja bernilai RM10,000 seorang, cukup untuk kegunaan setahun,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Rumah Bungan, kira-kira 14 kilometer dari sini hari ini.
Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berkata pihaknya akan memantau dan membuat kajian tentang impak bantuan tersebut bagi menentukan sama ada ia dapat meningkatkan pendapatan penerima.
Beliau berkata pada masa ini pengusaha berkenaan memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan diharapkan ia meningkat sehingga RM4,000 sebulan.
Menurutnya melalui kajian itu juga pihaknya mahu melihat sekiranya pemasaran hasil tani dapat diperbaiki bagi meningkatkan margin pendapatan penerima bantuan.
“Setakat ini mereka bergantung kepada penjualan melalui orang tengah yang kemudiannya membawa produk mereka ke pasar raya dan hotel.
“Bagaimana jika jawatankuasa rumah ini menubuhkan jawatankuasa jualan untuk menjual produk ini secara terus kepada pasar raya ataupun hotel, dengan cara ini, margin pendapatan mereka akan meningkat berbanding sekarang,” katanya.
-- BERNAMA
