FASA PERTAMA SISTEM PENGANGKUTAN BANDAR KUCHING AKAN BEROPERASI PADA AKHIR 2027
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Fasa pertama projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang sedang dilaksana dan diselenggara oleh Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan beroperasi menjelang akhir 2027.
Projek KUTS, di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan perbelanjaan dianggarkan RM6 bilion daripada kerajaan negeri akan meminimumkan kesesakan lalu lintas sambil memacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.
Eksekutif Kanan Promosi dan Perhubungan Awam Sarawak Metro Muhammad Fahri Izzad Muhammad Yakup berkata Fasa 1 projek itu terdiri daripada tiga laluan transit iaitu Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau, yang meliputi jarak keseluruhan 69.9 kilometer dengan 35 stesen.
Beliau berkata peringkat pertama Laluan Biru yang bermula dari Rembus ke Stutong akan disiapkan pada penghujung tahun depan, diikuti peringkat kedua bermula dari Stutong ke Hikmah Exchange dan Laluan Merah (Kuching Sentral - Pending) pada 2026.
"Laluan Hijau (Pending - Damai Central) akan beroperasi sepenuhnya pada 2027," katanya kepada Bernama pada persidangan Penyelesaian Rel Asia 2024 di sini hari ini.
Selain itu, Muhammad Fahri Izzad berkata Transit Aliran Autonomi (ART), tulang belakang projek KUTS akan beroperasi di landasan maya yang dikhaskan untuknya dan dijana oleh sel bahan api hidrogen dengan kelajuan operasi sehingga 70 kilometer sejam.
"Lima unit ART pertama akan tiba pada Oktober ini, dan apabila ia beroperasi sepenuhnya, kami akan mempunyai 38 unit ART," katanya.
Penyelesaian Rel Asia 2024 menyediakan persekitaran yang sempurna untuk perbincangan dan peluang rangkaian untuk lebih 60 pengendali kereta api di rantau Asia.
Pengarah Penyelesaian Rel Asia Norman Johnston berkata pameran dan persidangan tahunan yang ke-23 itu berlangsung selama dua setengah hari dan dijangka menarik 12,000 hingga 15,000 pengunjung.
“Kami membawa masuk delegasi-delegasi pengendali kereta api dari negara lain seperti Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
"Mereka boleh bertemu rakan sejawat dari negara-negara lain dan membincangkan masalah yang mereka hadapi serta membantu di antara satu sama lain bagi mencari kaedah penyelesaian," katanya.
-- BERNAMA
