KONSERT EXISTS DI KUCHING BAKAL ADUNKAN NOSTALGIA DAN KEUNIKAN MUZIK SARAWAK

31/01/2023 08:25 PM

KUCHING, 31 Jan (Bernama) -- Peminat kumpulan Exists di Sarawak kini tidak lagi perlu ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’, kerana berpeluang menyaksikan secara langsung persembahan pemuzik terkemuka tanah air itu, menerusi siri kedua Konsert Exists Resolusi yang bakal diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 27 Mei ini.

Pemain keyboard Exists Mohd Faizal Maas atau dikenali sebagai Ajai berkata buat julung kalinya, kumpulan itu akan mengadakan konsert di bandar raya itu, dengan mengambil kira kepelbagaian budaya dan keunikan muzik tradisional di Bumi Kenyalang.

Berbaki empat bulan lagi, Ajai berkata gabungan antara muzik tradisional Sarawak dan lagu Exists merupakan kelainan yang mahu ditonjolkan dalam siri kali ini, dan ia akan disajikan sebagai pembuka tirai konsert nanti.

“Kita sedang mencari kumpulan pemuzik tempatan seperti pemain sape untuk hasilkan ‘masterpiece’. Kami mahu tampilkan kelainan dalam setiap konsert dan antara nama yang dalam perancangan untuk bergandingan bersama Exist ialah Alena Murang (pemain sape),” katanya dalam sidang media Konsert Exists Resolusi di sini hari ini.

Konsert berkenaan akan berlangsung selama dua jam setengah bermula jam 9.00 malam dengan sejumlah 25 lagu popular dari album pertama Exists hingga album terakhir akan didendangkan, antaranya Alasanmu, Kembali, Untukmu Ibu, Janji Padamu, Janji Bidadari, Terpaksa, Kuman H.I.V dan Kerana Cinta. 

Selain Ajai, Exists turut dianggotai Musa Radhi yang bermain bass, Along (gitar) dan Ujang (dram). Vokalis asal, Mamat akan bergandingan dengan dua lagi penyanyi Pasha dan Eiz.

Siri pertama konsert Exists Resolusi diadakan pada 18 Nov lepas di Kuala Lumpur. Tiket dijual pada harga bermula RM95 hingga RM450 dan boleh dibeli di laman web https://www.ticket2u.com bermula Jumaat ini.

-- BERNAMA