TIGA IPD DI SARAWAK PERLU DITAMBAH BAIK SEGERA - NANTA

12/12/2022 06:43 PM

KUCHING, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti tiga premis ibu pejabat polis daerah (IPD) di Sarawak yang perlu ditambah baik dengan segera. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ketiga-tiga IPD itu adalah di Song, Julau dan Kapit yang kesemuanya terletak di bahagian tengah Sarawak. 

“Kita tumpukan kepada tiga IPD ini dahulu kerana ada keperluan yang mendesak...memerlukan perhatian yang serius seperti bangunan yang usang, contohnya IPD Matu Daro yang kerap dilanda banjir jadi tidak sesuai untuk anggota polis kita beroperasi dengan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan kerja dan perjumpaan bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. 

Perjumpaan yang berlangsung selama sejam itu turut melibatkan pegawai JKR dan pegawai tertinggi polis Sarawak.

Nanta berkata ketiga-tiga projek JKR itu dikategorikan di bawah perancangan jangka masa pendek kementeriannya untuk menaik taraf keadaan bangunan polis di negeri ini.

Menurut beliau maklumat terperinci mengenai projek berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Belum ada sebarang bajet untuk projek ini, tapi sebagai menteri saya akan cuba bantu. Pihak polis dan KDN akan memberikan perincian selanjutnya untuk projek jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

-- BERNAMA