DOKUMEN SEMENTARA BUKA PELUANG KEPADA PENDIDIKAN, PERKHIDMATAN KESIHATAN - FATIMAH

Datuk Seri Fatimah Abdullah (File pix)
29/11/2022 05:27 PM

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak akan mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan Sarawak (DSITKS) kepada individu berusia 21 tahun ke bawah yang lahir di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata dokumen itu penting supaya mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan terutama kanak-kanak boleh mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

“Hak untuk mendapat pendidikan itu adalah hak asasi setiap kanak-kanak, mereka harus mendapat pendidikan. Ini juga satu daripada usaha kerajaan negeri bagi mengenal pasti jumlah individu tidak mempunyai kewarganegaraan,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Fatimah berkata bermula 2 Dis ini, KPWK dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Daerah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan turun padang ke kawasan yang telah dikenal pasti untuk mendaftarkan mereka yang tidak memiliki kewarganegaraan.

“Di Kuching, yang kita tahu di kawasan Desa Wira, terdapat kanak-kanak yang tiada dokumen dan status kewarganegaraan yang belum diketahui, terdapat keperluan mendesak… maka kita akan pergi. Di Sibu, Destiny For Children Association, ia menempatkan sejumlah besar kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kemudian di Sepupok, Miri dan di Lawas.

“Melalui pengeluaran dokumen sementara tanpa kewarganegaraan ini, kita boleh tahu bilangan yang sedang menunggu keputusan dan sedang memohon,” katanya.

Menurut Fatimah, sejak permohonan DSITKS dibuka pada 1 Nov lepas, kementeriannya telah menerima sebanyak 60 permohonan.

Katanya DSITKS boleh dipohon terus di KPWK atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat dengan pemohon perlu memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak dan berstatus warganegara belum ditentukan serta telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA