HDC AKAN MAKLUMKAN MATRADE MENGENAI CADANGAN ANJUR MIHAS 2023 DI SARAWAK

Hairol Ariffein Sahari (HDC CEO)
08/11/2022 03:52 PM

KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan mengusulkan cadangan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Sarawak, kepada pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata ini berikutan pada September lepas, MATRADE telah mengumumkan bahawa acara tersebut akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12-15 Sept, 2023. 

“Saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE (Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz)...saya yakin Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Lokman Hakim Ali) akan turut terlibat dalam mesyuarat berhubung cadangan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Inisiatif Bajet 2022 sempena Jelajah Halal Malaysia 2022 di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengenai penganjuran acara tahunan itu di Sarawak pada tahun depan. 

Sharifah Hasidah telah mengusulkan perkara itu ketika membacakan ucapan perasmian Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Selain itu, dalam ucapan tersebut, Abang Johari berkata setakat Ogos lepas, sebanyak 746 premis di Sarawak telah mendapat pengiktirafan sijil halal yang seterusnya dapat menarik pelancong negara-negara Timur Tengah serta pelaburan yang bersifat mesra masyarakat Muslim.

Program Inisiatif Bajet 2022 anjuran HDC yang berlangsung sehingga Khamis ini, turut berperanan sebagai platform bagi mewujudkan kerjasama strategik antara HDC dan Kerajaan Negeri Sarawak selain meningkatkan prestasi pemain industri dan ekosistem halal di negeri itu.

-- BERNAMA