TIADA 'SATU LAWAN SATU' DI KAWASAN CALON NAMA BESAR SARAWAK

05/11/2022 05:29 PM

KUCHING, 5 Nov (Bernama) -- Proses pencalonan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan beberapa nama besar di Sarawak menyaksikan tiada perlawanan satu lawan satu dengan masing-masing berhadapan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru.

Di Parlimen Petra Jaya, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Fadillah Yusof dicabar Sofian Julaihi calon Pakatan Harapan (PH-PKR) dan Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Datuk Othman Abdullah.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya untuk empat penggal berturut-turut sejak 2004.

Parlimen Santubong pula menyaksikan calon GPS Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Naib Ketua Wanita PBB, berdepan saingan dua pencabar bagi merebut kerusi itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dicabar calon Bebas Affendi Jeman dan calon PH-Amanah Mohamad Zen Peli di kawasan yang mempunyai 79,540 pengundi.  

Penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengambil keputusan enggan bertanding kali ini dan menang besar di kawasan itu dalam PRU14 atas tiket Barisan Nasional dengan memperolehi 26,379 undi menewaskan calon PKR, Fidzuan Zaidi yang hanya mendapat 6,894 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo Datuk Wilie Mongin yang juga merupakan calon GPS bagi kerusi berkenaan, dicabar dua lagi calon masing-masingnya Diog Dios (PH-PKR) dan Iana Akam dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Willie, yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, memenangi kerusi Puncak Borneo pada PRU14 atas tiket PKR dengan majoriti 4,005 undi, sebelum menyertai Bersatu pada 2020 dan seterusnya PBB pada Ogos lepas.

Untuk Parlimen Sibu, calon muka baru GPS Clarence Ting Ing Horh dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), menghadapi persaingan penyandang dua penggal kerusi itu Oscar Ling Chai Yew,45 dari DAP dan Presiden Parti Bersatu Sarawak (PSB), Datuk Sri Wong Soon Koh,80 juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan.

Kerusi Parlimen Saratok pula bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Datuk Ali Biju yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan dua orang lagi calon, Giendam Jonathan Tait (GPS-PDP) dan Ibil Jaya (PH-PKR).

Parlimen Julau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng Wei Shein, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum yang mewakili GPS, Susan George dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan calon bebas, Elly Lawai Ngalai.

Pertandingan merebut kerusi Parlimen Lawas menyaksikan calon GPS-PBB yang juga penyandang kerusi itu Datuk Henry Sum Agong dicabar Baru Bian dari PSB dan Japar Suyut dari PH-PKR.

-- BERNAMA