82 TAPAK DI SARAWAK DIKENAL PASTI UNTUK PELAKSANAAN 5G - JULAIHI

04/11/2022 02:25 PM

KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 82 tapak telah dikenal pasti di Sarawak bagi pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata pelaksanaan perkhidmatan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan bandar raya Kuching dan Miri serta bandar Bintulu menjadi fasa pertama projek itu.

“Bandar Sibu pula dalam fasa kedua pelaksanaan. Digital Nasional Berhad (DNB) (anak syarikat kerajaan Persekutuan) masih dalam fasa menganalisis ketersediaan kerajaan negeri terutamanya dalam fasiliti infra telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Julaihi berkata selain inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak turut melaksanakan skim atau inisiatif sendiri bagi mendukung inisiatif bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G.

“Fokus (inisiatif adalah) untuk membekalkan perkhidmatan telekomunikasi yang bermutu yang dapat dilaksanakan segera di seluruh Sarawak. Contohnya, inisiatif di bawah SDEC (Sarawak Digital Economy Corporation Berhad) adalah Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN),” katanya.

Julaihi berkata Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) baru-baru ini juga telah mengadakan sesi libat urus kedua bersama agensi dan pemain industri berkaitan telekomunikasi.

“Sesi kali ini lebih intensif dengan memfokus kepada isu-isu berbangkit berkenaan dengan perkhidmatan talian telefon mudah alih serta jaringan Internet yang masih perlu ditambah baik di beberapa kawasan yang telah dikena pasti,” katanya.

Beliau berkata sesi itu membuka ruang bagi setiap agensi membentangkan cabaran utama dalam membekalkan perkhidmatan talian telefon mudah alih serta jaringan Internet seperti proses izin lalu dan bentuk muka bumi yang sentiasa menjadi cabaran utama.

“Program ini juga menjadi platform untuk setiap agensi yang terlibat berusaha untuk menyelaraskan tujuan atau polisi sesama sendiri yang lebih memudahkan dalam membekalkan perkhidmatan talian telefon serta akses Internet,” katanya. 

Agensi yang terlibat termasuk Lembaga Multimedia Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU), SDEC, Sacofa Sdn Bhd (SACOFA), Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Penyedia perkhidmatan utama seperti Telekom Malaysia Berhad, CELCOM Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Sarawak), Maxis Berhad and U Mobile Sdn Bhd turut sama dalam sesi libat urus itu.

-- BERNAMA