MILO AGIH 10,000 CAWAN AIR PERCUMA PADA SAMBUTAN HARI MALAYSIA DI KUCHING

Kredit : MILO®
10/09/2026 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10,000 cawan minuman Milo akan diagihkan secara percuma kepada pengunjung bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 16 Sept ini.

Pengurus Pemasaran Sukan Milo Noor Misbah Md Nasirudin Kamal berkata inisiatif menerusi "Milo Truck" itu merupakan sebahagian daripada sasaran pengagihan 100,000 cawan minuman secara percuma sepanjang Bulan Kebangsaan, tahun ini.

Beliau berkata penglibatan Milo dalam sambutan berkenaan turut membawa semangat “Malaysia Boleh” yang menjadi antara identiti jenama itu, selain memanfaatkan nostalgia "Milo Van" yang dekat dengan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Milo sangat sinonim dari zaman dulu dan telah bertapak selama 76 tahun di Malaysia dan ini merupakan dorongan kita untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui nostalgia 'Milo Van',” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk “Program Kolaborasi Strategik Sambutan Hari Malaysia 2026” terbitan Bernama TV, hari ini.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan Kementerian Komunikasi Nurul Haliah Muin yang turut menjadi tetamu program itu berkata sambutan Hari Malaysia kali ini menampilkan pengisian lebih pelbagai menerusi elemen kebudayaan dan persembahan artis daripada pelbagai etnik.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi menjayakan sambutan itu yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), RTM Klik dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi Mohd Burhanuddin Mohd Masri berkata pelbagai program turut diadakan di beberapa lokasi di Sarawak menjelang kemuncak sambutan pada 16 Sept.

Beliau berkata antaranya termasuklah pameran mini di 10 daerah di Sarawak selain pameran Hari Malaysia di Plaza Merdeka yang berlangsung dari hari ini hingga 16 Sept.

“Pengisian lain termasuk majlis keagamaan, majlis doa selamat, persembahan teater dan pemotongan pulut kuning sebagai simbolik,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Astro Shaw merangkap Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro turut menyokong sambutan berkenaan menerusi sumbangan bernilai RM7 juta.

“Tahun ini lebih bermakna, lebih penting kerana kita menyambut ulang tahun ke-30 di Astro dan kami berharap inisiatif serta pengisian khas yang dibawakan oleh pihak Astro dapat mendekatkan rakyat Malaysia dan menginspirasikan semua,” katanya.

-- BERNAMA