BIF 2026 ANGKAT WARISAN SENI, BUDAYA BORNEO

02/11/2026 07:24 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 12 Nov ini bakal menghimpunkan kepelbagaian seni, budaya, dan warisan masyarakat Borneo di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival itu berperanan memelihara dan memperkasakan warisan seni budaya tradisional, selain memastikan kelangsungannya dalam kalangan generasi muda, serta menyokong pembangunan industri kreatif dan pelancongan negeri.

“BIF 2026 turut menyediakan ruang pertemuan pelbagai etnik, penggiat seni, pengamal budaya, institusi pendidikan dan komuniti kreatif untuk membina jaringan kerjasama serta berkongsi kepakaran.

“Festival ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkukuh pembangunan industri kreatif, serta memartabatkan warisan seni dan budaya sebagai aset penting negeri,” katanya pada sidang media bersempena dengan BIF 2026, di sini.

Sepanjang festival itu tujuh acara utama bakal disediakan termasuk Sidang Keilmuan, Echoes of Borneo, Festival Tarian dan Lagu Melayu Asli, Ngelakar Seni Premium, Ruai Sarawak, Mini Show serta Market Seni.

Beliau berkata Echoes of Borneo dijangka menarik perhatian pengunjung menerusi persembahan tarian, muzik tradisional dan busana etnik yang menghimpunkan kumpulan seni Sanggar Andari dari Indonesia, Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) dari Sabah serta Kumpulan Tari Perbadanan Labuan.

-- BERNAMA