ACL2: KUCHING CITY FC OPTIMIS, WASPADA ANCAMAN GANGWON FC
KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Kuching City FC bergelut dengan masalah kecederaan pemain menjelang aksi menentang kelab dari Korea Selatan Gangwon FC pada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027 di Stadium Taha Ariffin di sini malam esok.
Ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berkata sekurang-kurangnya lima pemain tidak dapat diturunkan, termasuk Ajdin Mujagic, Ronald Ngah Wanja, Gabriel Peres, Jimmy Raymond dan Ahmad Israiwah.
“Sudah tentu agak sukar untuk mencapai kejayaan tanpa pemain utama. Saya memilih untuk melihat situasi ini dari sudut positif.
“Kami tidak mahu membuat sebarang janji, sebaliknya akan melakukan persiapan dalaman bagi memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk setiap perlawanan,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Gangwon FC hari ini.
Aidil berkata Gangwon FC adalah pasukan yang berdisiplin dan menampilkan permainan yang baik, selain dibarisi pemain berpengalaman, sekali gus pasukannya perlu lebih berhati-hati.
Dalam pertemuan pertama di Korea Selatan pada 29 Okt lepas, Kuching City tewas tipis 0-1 kepada Gangwon FC.
-- BERNAMA
TAG:
ZP MASH NMN
