PEMANDU LORI AYAM PUTUS KAKI KANAN, KELINDAN CEDERA DALAM KEMALANGAN

Credit: Sarawak Fire and Rescue Department (JBPM)
03/11/2026 04:59 PM

SIBU, 3 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu lori berusia 27 tahun putus kaki kanan manakala kaki kiri patah selepas lori lima tan membawa muatan ayam dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Sibu-Bintulu berhampiran simpang Jalan Kemena, awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian itu, mangsa tersepit di bawah lori berkenaan manakala seorang lagi lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan pada kaki kiri.

Menurut JBPM Sarawak kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah lori jenis Nissan yang dipercayai melanggar penghadang jalan sebelum terbalik di tepi jalan.

“Kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada lori berkenaan, dengan pemandunya tersepit di bawah kenderaan itu dan mengalami kecederaan serius. Bagaimanapun, kedua-duanya masih sedar ketika pasukan penyelamat tiba,” menurut kenyataan itu. 

JBPM Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.29 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau tiba di lokasi kejadian pada 4.07 pagi.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi merenggangkan bahagian lori yang menghempap pemandu sebelum berjaya mengeluarkannya. Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA