MOSTI LANCAR PROGRAM MSN 2026 ZON SARAWAK UNTUK BUDAYAKAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI 

Credit: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Facebook Page
30/07/2026 08:13 PM

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini secara rasmi melancarkan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak bagi menggalakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di negeri ini.

MOSTI menerusi satu kenyataan memaklumkan penganjuran edisi kali ini tampil dengan misi memecahkan tembok geografi dan memastikan obor inspirasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) turut menyala di kawasan pedalaman dan luar bandar demi melahirkan generasi celik teknologi.

Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu dalam ucapannya pada majlis pelancaran tersebut berkata program MSN 2026 yang berlangsung selama dua hari itu merupakan inisiatif utama kerajaan bagi menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi.

“Karnival MSN 2026 Zon Sarawak juga akan menyantuni pelajar sekolah melalui jangkauan luar iaitu Program STEM Catalysts bagi mendekati murid sekolah luar bandar Sarawak di daerah Meradong, Bintulu dan Belaga,” katanya pada majlis tersebut yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di Pusat Sains Sarawak, di sini.

Menurut MOSTI, penganjuran karnival sains dua secara fizikal itu turut memperkenalkan advokasi teknologi nuklear yang merupakan anjakan paradigma untuk membina keyakinan dan penerimaan sosial masyarakat terhadap aplikasi teknologi nuklear selamat.

Selain itu, MOSTI juga membawakan Platform Sains Rakyat (Citizen Science) yang boleh diakses melalui portal sainsrakyat.my.

“Wadah ini memanggil setiap lapisan masyarakat termasuk komuniti luar bandar untuk menyumbang data dunia sebenar (real-world data) bagi memacu penyelidikan dan penyelesaian berasaskan sains,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA