JPJ SIBU SITA ENAM KENDERAAN MEWAH DALAM OPS LUXURY

29/08/2025 12:47 PM

SIBU, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu menyita enam kenderaan mewah atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sah serta tiada perlindungan insurans menerusi Ops Luxury yang diadakan di bandar ini sejak awal bulan ini.

Ketua Cawangannya Pegawai Penguatkuasa Kanan Nurul Fairezzah Safri berkata kenderaan yang disita terdiri daripada dua Toyota Velfire serta masing-masing sebuah Toyota Land Cruiser, Toyota Crown Royale, Toyota Camry dan Mercedes Benz.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata operasi itu menyasarkan kenderaan mewah yang masih digunakan di jalan raya walaupun LKM telah tamat tempoh sah serta tiada perlindungan insurans.

“Malah ada kenderaan yang LKM tamat tempoh sah dan tidak diperbaharui selama beberapa tahun. Mana-mana kenderaan mewah yang didapati beroperasi tanpa LKM dan insurans sah akan disita serta-merta dan kes tidak boleh dikompaun. Pemandu serta pemilik akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau menegaskan JPJ akan terus mengadakan operasi mengesan kenderaan mewah di bandar ini yang masih digunakan tanpa memperbaharui LKM, selain tidak berkompromi dengan mana-mana pemilik.

Nurul Fairezzah berkata kenderaan yang disita hanya akan dilepaskan kepada pemilik berdaftar selepas LKM serta insurans diperbaharui dan mendapat kelulusan pelepasan daripada Pengarah JPJ Sarawak, namun pemandu tetap akan didakwa di mahkamah.

“Berdasarkan arahan terkini, bagi kenderaan persendirian termasuk mewah, walaupun LKM dan insurans tamat tempoh sah sehari sahaja, pemandu serta pemilik berdaftar akan tetap disaman dan kenderaan disita serta-merta.

“Bagi kenderaan perdagangan pula, sekiranya LKM tamat tempoh sehari dan sama ada insurans masih berkuat kuasa atau tidak, tindakan saman dan sitaan turut dikenakan,” katanya.

Beliau berkata selain kenderaan mewah JPJ turut memberi tumpuan kepada kenderaan persendirian lain serta kenderaan perdagangan.

Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 55 kenderaan telah disita JPJ Sibu, termasuk 48 kenderaan persendirian (enam daripadanya kenderaan mewah) dan tujuh kenderaan perdagangan.

“Tindakan sitaan bukan bertujuan menyusahkan pemilik, sebaliknya memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA