SARAWAK KAJI AMALAN PERLOMBONGAN KANADA UNTUK HASIL GRAFIT DARIPADA BIOJISIM

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Credit: UKAS)
18/06/2024 04:28 PM

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kaedah pengurusan dan perundangan berkaitan mineral yang diamalkan di Kanada dalam perancangannya untuk menjana potensi pengeluaran grafit daripada biojisim.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata satu rombongan diketuai Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengunjungi Kanada baru-baru ini untuk mendalami perkara berkenaan.

“Kanada antara negara utama di dunia dalam pengurusan mineral dan cari gali mineral yang tidak menjejaskan alam sekitar. Selepas itu mereka pulihkan (kawasan perlombongan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Jabatan Premier Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata lawatan itu juga akan disesuaikan dengan kajian yang dibuat Jabatan Mineral dan Geosains di Sarawak bagi mineral yang telah dikenal pasti dengan tujuan mengelakkan ekploitasi melampau. 

“Saya akan lihat laporan mereka kerana kita ada potensi mengeluarkan graphite (grafit). Biomass yang ada (di Sarawak) ada character yang boleh mengeluarkan grafit yang juga satu chemical dikehendaki dalam fuel cell hydrogen,” katanya.

Semalam, Awang Tengah dilaporkan berkata rombongan diketuai beliau ke Kanada baru-baru ini bagi mengkaji industri perlombongan negara berkenaan sejajar dengan hasrat di bawah Strategi Pembangunan pasca-COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak bagi pembangunan masa depan mineral. 

Beliau berkata sektor perlombongan Kanada menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkenaan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta impak tinggi kepada perkembangan sosioekonomi. 

-- BERNAMA