RUMAH TERBUKA GAWAI DAYAK: TAMPILKAN SENI DAN BUDAYA PELBAGAI KAUM

01/06/2024 04:56 PM

KUCHING, 1 Jun (Bernama) -- Persembahan seni dan kebudayaan oleh masyarakat pelbagai kaum di Bumi Kenyalang mewarnai Rumah Terbuka Gawai anjuran pemimpin Dayak Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini. 

Malah kehadiran tiga daripada empat wanita Bidayuh yang menjadi legasi terakhir pemakai gelang tembaga di lengan dan betis atau dikenali sebagai ‘ring ladies’ di pintu masuk bagi menyambut para tetamu, antara keunikan yang diketengahkan pada majlis rumah terbuka tahun ini.

Berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang, rumah terbuka itu diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Antara tetamu kenamaan lain Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir serta Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang. 

Turut hadir, kesemua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Tian serta barisan menteri Persekutuan dan negeri. 

Selaku menteri yang mengetuai majlis berkenaan, Uggah berkata kira-kira 7,000 tetamu tanpa mengira kaum dan agama menghadiri rumah terbuka kali ini.

“Objektif kami ialah untuk mempamerkan perpaduan dan budaya di Sarawak, dan saya dapat lihat ia memang berjaya..pada masa depan banyak lagi budaya lain yang boleh ditampilkan,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis berkenaan hari ini. 

Gawai Dayak merupakan perayaan masyarakat Dayak bagi memanjatkan kesyukuran selepas musim menuai padi, serta tanda terima kasih atas kelangsungan hidup serta limpahan rezeki. 

Ia disambut setiap 1 dan 2 Jun di Sarawak khususnya oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Bumi Kenyalang.

-- BERNAMA