MANFAATKAN MEDIA SOSIAL UNTUK SEBAR MAKLUMAT PATRIOTIK

19/05/2024 08:44 PM

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Media sosial perlu dimanfaatkan untuk menyebar maklumat berintipatikan patriotisme dan kenegaraan bagi memperluaskan jaringan kesedaran setia dan cinta kepada negara dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata menyebarkan maklumat berkenaan patriotisme melalui media sosial sempena bulan Kebangsaan bukan sahaja boleh mewujudkan trend dan suasana yang positif, malah mampu sampai kepada kumpulan sasar dari pelbagai lapisan usia secara meluas.

"Ekspresi ini juga menggambarkan tahap kesetiaan rakyat kepada negara malah apa yang ditonjolkan sebenarnya juga memaparkan kedaulatan negara kepada pihak luar," katanya ketika berucap pada majlis Ekspresi  Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

John Sikie berkata semangat patriotisme yang teguh dan mantap perlu ada sebagai asas jati diri setiap individu, semangat itu tidak harus bermusim terutamanya pada Bulan Kebangsaan, Hari Sarawak dan Hari Malaysia.

"Sebaliknya jiwa patriotisme perlu diterjemahkan sepanjang masa membabitkan tanggungjawab dan kehidupan harian rakyat.

"Saya juga menyarankan  bila tiba masanya  program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dilaksanakan, rakyat Sarawak harus bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di setiap pelosok kerana itulah ekspresi rakyat kita terhadap negara merdeka dan berdaulat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak,  Helmy Hamid berkata, Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 menjadi titik permulaan bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. 

Beliau berkata sambutan itu juga bertujuan memupuk semangat perpaduan serta menanam semangat patriotisme di kalangan semua lapisan masyarakat untuk menghargai kepelbagaian budaya dalam meraikan peristiwa bersejarah tersebut.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya kuiz kenegaraan, pertandingan mewarna kanak-kanak, saringan kesihatan secara percuma oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching serta pameran agensi dan jabatan.

-- BERNAMA