MBPP ANJUR EARTH CLEANUP EVENT BERMULA ESOK, PUPUK KOMUNITI KE ARAH MASA DEPAN LESTARI

19/04/2024 03:27 PM

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) buat julung kalinya dengan kerjasama Malaysian Humanitarian Foundation (MHF), earthday.org, dan World Cleanup Day Malaysia by "Let's Do It World" akan menganjurkan "Earth Cleanup Event Penang", bermula esok hingga 23 April.

Program empat hari itu bersempena sambutan Hari Bumi 2024, bertujuan memupuk penjagaan alam sekitar dan memperkasakan komuniti ke arah masa depan yang lestari.

Datuk Bandar MBPP Datuk Ir. A. Rajendran berkata program itu merangkumi tiga komponen utama iaitu forum, acara Pembersihan Bumi (Cleanup Day) dan penanaman pokok, bermula dengan sesi town hall belia dan sesi town hall korporat dan badan bukan kerajaan.

“Menerusi forum itu, kita berhasrat untuk menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk menangani cabaran alam sekitar dan bersama-sama membangunkan penyelesaian yang mampan.

“Kita menjangkakan lebih 20 penceramah tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai latar belakang akan menyertai program ini bagi berkongsi pengalaman mereka mengenai kepentingan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Perkongsian itu turut bertujuan memberi inspirasi ke arah perubahan positif bukan saja di peringkat nasional tetapi juga global mengenai kerangka berkaitan dengan amalan kelestarian serta etika ke arah memelihara dan memulihara bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Earth Cleanup Event di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengasas Bersama dan Pengarah Projek Malaysian Humanitarian Foundation (MHF) merangkap Pemimpin Negara bagi Hari Pembersihan Sedunia Henry Teh Kok Kheng.

Rajendran berkata selain forum, pameran dan bengkel, ‘Cleanup Day’ yang akan berlangsung pada hari ketiga iaitu Ahad, 22 April, bakal menyaksikan penyertaan komuniti untuk membersihkan tiga lokasi ikonik iaitu Pulau Gazumbo, Pulau Jerejak dan Dataran Queensbay. 

Menurut beliau, selain memperindah kawasan berkenaan, aktiviti sedemikian dapat meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting setiap individu dalam menjaga alam sekitar supaya kebersihan dan kesihatan lebih terjamin. 

Kemuncak kepada Hari Bumi pada hari sama, Rajendran berkata MBPP akan menyumbangkan sebanyak 165,000 pokok untuk ditanam di sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Persiaran Karpal Singh bagi menyokong penanaman satu juta pokok oleh Yayasan Amal TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Sebanyak 100 pokok lagi akan dikhaskan untuk penanaman hutan di Taman Areca, Sungai Pinang, bagi menyumbang kepada pemeliharaan warisan alam semula jadi.

"MBPP berpandukan Perancangan Strategik 2021-2025, akan melaksanakan inisiatif serta program-program mengikut moto "Bandar Yang Bijak, Selesa dan Gembira" menuju ke arah Bandar Rendah Karbon, sejajar dengan Visi Penang 2030, justeru penglibatan komuniti dalam program ini ke arah mewujudkan perubahan positif,” katanya.

Rajendran berkata pihaknya berharap kerjasama dan kolaborasi sedemikian dapat diteruskan dan menjadikannya sebagai acara tahunan, tambahan MBPP mempunyai banyak lagi inisiatif agenda hijau yang hendak dilaksanakan untuk negeri ini. 

Sementara itu, Henry berkata kerjasama MHF, bersama rakan strategik, earthday.org dan World Cleanup Day Malaysia by "Let's Do It World" dalam menjayakan program berkenaan bertujuan membentuk masyarakat dan budaya penyayang dengan menumpukan kepada alam sekitar, manusia dan haiwan secara sukarela. 

“Fokus kami juga tertumpu kepada inisiatif dengan impak yang boleh diukur, dipantau dan diaudit secara bebas, termasuk mempromosikan prinsip ESG dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mencapai sasaran sifar sisa dan sifar tenaga serta memajukan objektif sifar bersih dan sifar karbon,“ katanya. 

Beliau berkata untuk maklumat lanjut mengenai program itu atau sesiapa berminat menyertai sesi forum boleh mendaftar dengan melayari laman web mhfhuman.org. 

-- BERNAMA