KPDN SARAWAK TETAPKAN 18 BARANGAN HARGA TERKAWAL SEMPENA AIDILFITRI

05/04/2024 04:08 PM

KUCHING, 5 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah menetapkan sejumlah 18 barangan diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa hari ini hingga 19 April depan. 

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata antara barangan harga terkawal termasuk bawang besar kuning, bawang besar merah import, cili kering keriting, cili merah, daging lembu import, halia tua import dan ikan kembung. 

“Kesemua tanda harga bagi barangan tersebut akan ditandakan dengan warna merah jambu. Jadi peniaga di Sarawak tak boleh jual lebih dari harga ditetapkan selama tempoh 15 hari skim ini berkuat kuasa.

“Pelaksanaan SHMMP akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan sempena pelaksanaan SHMMP di sini hari ini. 

Beliau berkata harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

Dalam pada itu, Matthew berkata KPDN Sarawak akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP sempena Aidilfitri ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menggerakkan 189 pegawai penguat kuasa dan 97 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri bagi memantau keberadaan bekalan dan pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam, pasar basah dan pasar raya. 

“Pemantauan dijalankan bagi mengesan ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya mana-mana ketidakpatuhan oleh peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan yang dtetapkan,” katanya. 

Beliau berkata sejak 1 Jan hingga 4 April, KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan terhadap 24,076 premis, menghasilkan 288 kes dengan nilai kompaun RM40,900 serta anggaran nilai sitaan berjumlah RM13.6 juta. 

-- BERNAMA