NUR AZHAR ANGKAT SUMPAH SETIAUSAHA DUN SARAWAK

28/03/2024 01:04 PM

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Peguam Kanan Negeri Sarawak Nur Azhar Bujang hari ini mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

DUN Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan upacara mengangkat sumpah tersebut diadakan di hadapan Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Nur Azhar, 39, menggantikan Pele Peter Tinggom yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 5 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu, Nur Azhar berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang pada 2009 dan Sarjana Muda Undang-Undang pada 2010 daripada Universiti Teknologi MARA.

Beliau memulakan kerjayanya di sektor swasta, Kuala Lumpur sebelum kembali ke Sarawak untuk menyertai perkhidmatan awam negeri sebagai Pegawai Undang-Undang di Pejabat Peguam Besar Negeri Sarawak.

“Anak kelahiran Kuching itu kemudiannya meneruskan pengajiannya dalam ljazah Sarjana Undang-Undang dalam Harta Intelek dan Ekonomi Digital di University of Glasgow, Scotland.

“Beliau merupakan seorang daripada barisan peguam di dalam kes berprofil tinggi mewakili kerajaan Sarawak termasuk dalam kes antara Petronas dan Kerajaan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA