KEPELBAGAIAN BUDAYA SARAWAK DIPAMERKAN DI PARIS 

Credit: Sarawak Forestry Corporation (SFC)
27/03/2024 08:20 PM

KUCHING, 27 Mac (Bernama) -- Kepelbagaian budaya Sarawak dan landskap yang menakjubkan dipamerkan selama tiga hari bermula 25 Mac lepas di Secur Hall di Paris, Perancis.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perbadanan itu menganjurkan pameran “Malaysian Borneo Unveiled: Harmony of Cultures, Nature, and Adventure” bersama-sama Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Muzium Sarawak 

Menurut SFC pameran berkenaan dianjurkan sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO ke-219.

 "Pameran ini bermatlamat untuk menarik perwakilan menerusi paparan bertenaga, pameran interaktif dan perbincangan, mengetengahkan gabungan harmoni pelbagai budaya dan khazanah semula jadi di rantau ini.

“Ia turut menampilkan pakaian berwarna-warni, pelbagai aksesori serta paparan video. Majlis resepsi yang diadakan pada 26 Mac mengalu-alukan lebih 100 peserta dengan kehadiran Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh sebagai tetamu kehormat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA