POLIS TAHAN LELAKI OKU CUBA CULIK KANAK-KANAK

17/03/2024 09:03 PM

KUCHING, 17 Mac (Bernama) - Polis menahan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) selepas dipercayai cuba menculik kanak-kanak berusia lapan tahun yang sedang bermain di luar rumahnya di kawasan perumahan berdekatan Jalan Lapangan Terbang di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata lelaki tempatan berusia 30 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Kuching pada 15 Mac, di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

“Mahkamah telah memerintahkan penahanan suspek di Hospital Sentosa, Kuching Sarawak untuk penilaian psikiatri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebutan semula kes ialah pada 22 April selepas laporan perubatan diterima.

Terdahulu, Ahsmon berkata suspek ditahan kira-kira 6.55 petang, 11 Mac lepas kerana cuba melarikan kanak-kanak berkenaan.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna putih yang digunakan suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya dengan masalah pembelajaran dan telah menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak sejak 2001 kerana mengalami Attention Deficit Hyperactive Disorder," katanya.

-- BERNAMA