ABANG RAHMAT YUSUF DILANTIK SEBAGAI CEO DANA KEKAYAAN MASA DEPAN BERDAULAT SARAWAK

12/03/2024 08:58 PM

KUCHING, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak mengumumkan pelantikan Abang Rahmat Yusuf sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dana itu berkuat kuasa 29 Jan tahun ini.

Lembaga itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Abang Rahmat, 48, memiliki ijazah Sarjana dalam pentadbiran awam dari Universiti Harvard dan merupakan Ketua Perbankan Pelaburan (Malaysia) di CLSA Securities dari 2019 hingga 2024.

Menurut kenyataan itu, semasa di CLSA Securities, beliau mengetuai pasukan mengumpul dana termasuk tawaran awam permulaan (IPO) dan penempatan untuk pelanggan institusi dan korporat.

Antara tahun 2004 dan 2019, beliau adalah Pengarah Pelaburan Khazanah Nasional dan ketika itu Abang Rahmat menubuhkan dan mengetuai pejabat berkenaan di Istanbul yang meliputi Turki, Timur Tengah dan negara-negara Afrika sub-Sahara.

Beliau juga merupakan Pengarah bagi Kumpulan Institusi Kewangan (FIG) yang kemudiannya mewakili 20 peratus portfolio Khazanah.

-- BERNAMA