HAWANA 2024: PELUANG WARTAWAN LUAR FAHAMI MASYARAKAT DI SARAWAK

Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS fb
12/03/2024 12:45 AM

KUCHING, 11 Mac (Bernama) -- Pengamal media dari Semenanjung dapat merasai sendiri dan memahami masyarakat di Sarawak semasa penganjuran Persidangan Media dan Hari Wartawan Nasional (Hawana 2024) pada 25 hingga 27 Mei depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)) Datuk Abdullah Saidol berkata penganjuran program berkenaan juga akan memberi peluang kepada pengamal media Semenanjung mengetahui perkembangan terbaru di negeri itu.

"Dengan ini, mereka lebih memahami suasana masyarakat dan juga suasana politik kita yang stabil serta perancangan pembangunan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Sebanyak 300 wartawan dari Semenanjung termasuk di negeri ini dijangka akan menghadiri kedua-dua program tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UKAS selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di sini hari ini.

Abdullah berkata antara pengisian sempena Hawana 2024 itu ialah pameran mengisahkan perjalanan, pengalaman dan pengorbanan pengamal media dari dulu hingga sekarang untuk dipertontonkan kepada orang awam.

"Kita mahu pameran ini memberi gambaran sebenar tentang sejarah perjalanan warga wartawan sehingga kini. 

"Manakala dalam persidangan media nanti kita akan memaparkan topik-topik tentang cabaran dalam era digital dan bagaimana maklumat antara masyarakat dan kerajaan dapat dirapatkan," katanya.

Majlis Perasmian Hawana 2024 dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari pada 27 Mei manakala Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka  hadir pada majlis makan malam sempena HAWANA di sebuah hotel terkemuka di sini pada 26 Mei.

-- BERNAMA