GENTARI HYDROGEN, SEDCE AKAN BANGUNKAN HAB HIDROGEN BERPUSAT DI BINTULU

Credit: Gentari-SEDCE
26/02/2024 05:11 PM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Gentari Hydrogen Sdn Bhd dan SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE) secara bersama akan membangunkan hab pengeluaran hidrogen berpusat di Bintulu, Sarawak yang dikenali sebagai Hab H2 Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian induk (HoA) yang ditandatangani di antara Gentari Hydrogen dan SEDCE pada Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 di sini hari ini.

“Hab pengeluaran hidrogen berskala global yang dirancang di Bintulu bertujuan untuk menjadi pembekal tunggal hidrogen hijau bagi kemudahan hiliran di bahagian Bintulu,” kata Gentari Hydrogen dan SEDCE dalam satu kenyataan bersama.

Sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan oleh Gentari Hydrogen, anak syarikat Gentari Sdn Bhd, dan SEDCE, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), yang menguruskan hab serta bertanggungjawab untuk mengoptimumkan semua projek pengeluaran hidrogen.

SEDCE ditugaskan untuk memulakan ekosistem tenaga baharu di Sarawak, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk menekankan penggunaan tenaga baharu dan lebih bersih. Sarawak meletakkan dirinya sebagai pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 dengan visi peralihan negeri ini kepada ekonomi hidrogen.

Ketua Pegawai Hidrogen Gentari Michèle Azalbert berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab hidrogen yang bersih di Asean, diterajui oleh negeri seperti Sarawak dengan sumber mampan yang mencukupi.

Beliau berkata Gentari menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi seperti SEDCE untuk membangunkan ekonomi hidrogen tempatan, yang mana akan mewujudkan nilai ekonomi bagi negeri sambil meletakkan negara sebagai hab eksport hidrogen.

“Kami percaya hidrogen adalah laluan ke hadapan dan kami komited untuk menyumbang ke arah Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sebagai tambahan kepada visi dan objektif kerajaan Malaysia dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR),” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE Robert Hardin berkata perkongsian strategiknya dengan Gentari untuk Hab H2 Sarawak akan menjadi usaha penting untuk memacu lebih banyak pembangunan dan menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga baharu.

“Hidrogen akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan seperti yang diketengahkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. Oleh itu peranan Sarawak dalam memajukan pembangunan ini wajar diberi perhatian. Ia dilakukan dengan baik melalui pendekatan kami terhadap kerjasama di peringkat antarabangsa dan domestik,” tambahnya.

Gentari dan SEDC Energy sebelum ini telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dalam pembangunan dan penyediaan penyelesaian tenaga bersih bersepadu serta sumbangan kepada pembangunan dasar dan kawal selia di negeri Sarawak.

-- BERNAMA