KKDW SASAR JUALAN RM300,00 BAGI KARNIVAL MINI USAHAWAN DESA@KOTA SAMARAHAN

Deputy Rural and Regional Development Minister, Datuk Rubiah Wang.
28/01/2024 05:40 PM

KUCHING, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah menyasarkan jualan sebanyak RM300,000 sepanjang penganjuran Karnival Mini Usahawan Desa@Kota Samarahan yang akan berlangsung selama empat hari mulai 1 Feb ini. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal merasmikan karnival itu pada hari kedua. 

“Kita jangkakan penglibatan 100 usahawan Sarawak bimbingan agensi di bawah kementerian dan fokus kita bukan sahaja dari segi jualan tetapi juga memberi peluang kepada mereka mengembangkan produk masing-masing serta ilmu perniagaan secara digital kepada komuniti ini.

“Kita menyasarkan sekitar 10,000 pengunjung setiap hari dan pelbagai aktviti menarik akan diadakan antaranya kita mahu melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan 3,000 orang bagi acara maraton poco-poco nanti pada 3 Feb,” katanya kepada pemberita selepas program Santai Media Sarawak bersama beliau di sini hari ini. 

Rubiah juga berkata penganjuran program sedemikian adalah antara usaha kementerian itu membantu meningkatkan pendapatan usahawan kategori piko yang menjana pendapatan tidak melebihi RM60,000 setahun. 

Bertempat di Halaman Samarahan berdekatan pejabat Majlis Perbandaran Kota Samarahan, acara itu berlangsung dari 6 petang hingga 10 malam pada hari pertama, 9 pagi hingga 10 malam pada hari kedua dan ketiga manakala pada hari terakhir dari 9 pagi hingga 5 petang. 

Aktiviti lain termasuk jualan produk, planetarium mini, e-sukan, Bazar Prihatin Peduli Rakyat, servis motosikal percuma, pameran agensi serta cabutan bertuah manakala kemasukan adalah percuma.

Program itu anjuran bersama lima agensi kementerian berkenaan iaitu Majlis Amanah Rakyat, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah serta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang. 

Sementara itu, Rubiah berkata sejumlah 5,976 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berdaftar di Sarawak layak menerima peruntukan RM5,000 bagi menjalankan program pembangunan di kawasan masing-masing. 

Beliau berkata secara keseluruhan, lebih 15,000 JKKK berdaftar di seluruh negara setakat 2023 akan menerima bantuan itu dalam masa terdekat dan mereka perlu melepasi syarat-syarat serta garis panduan yang telah ditetapkan iaitu berdaftar serta memiliki rekod pelaporan baik daripada Pejabat Daerah masing-masing.

-- BERNAMA