KEUNIKAN SARAWAK JADI TARIKAN UTAMA PELANCONG PREMIUM

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
25/01/2024 01:12 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Bukan hanya flora dan fauna, tetapi Sarawak juga kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya menjadikan ia sebuah negeri yang unik dalam menggambarkan masyarakat pluralis dengan nilai toleransi tinggi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kedua-dua ciri berkenaan adalah kekuatan utama Sarawak dalam menarik pengunjung ke negeri itu.

“Budaya, pengembaraan, alam sekitar dan pesta makanan adalah yang kami ketengahkan. Kami ingin meneruskannya kerana saya perhatikan ramai yang datang ke Sarawak untuk tujuan itu.

“Contohnya, orang Brunei datang untuk menikmati makanan dan perayaan di Miri atau Bintulu kerana mereka tidak dapat menemukan perkara sedemikian di Brunei,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata matlamat untuk menarik empat juta pelancong ke Sarawak pada 2024 adalah teras kepada visi strategik pelancongan negeri, sambil menambah negeri itu mencatatkan lebih 3.5 juta ketibaan pelancong tahun lepas.

“Bagaimana kita membawa masuk mereka ini, mesti ada tujuan tertentu. Kita mesti adakan festival muzik, pesta kebudayaan, pesta makanan selain penganjuran acara sukan dan pelancongan perubatan,” katanya.

Dalam usaha mencapai sasaran empat juta pelancong ke Sarawak tahun ini, strategi pelancongan tertumpu kepada menjadikan Sarawak sebagai hab ekopelancongan, dengan memberi penekanan kepada amalan yang bertanggungjawab dan mampan.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata untuk menarik pelancong, tumpuan harus diberikan kepada memenuhi keperluan demografi yang cenderung mempunyai perbelanjaan besar dan penginapan yang lebih lama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor berkata pihaknya mengambil langkah dan strategi lebih berani serta agresif dalam memasarkan negeri itu di peringkat antarabangsa bagi persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata strategi STB tertumpu kepada ekopelancongan, mengutamakan pengalaman unik dan bertanggungjawab, yang melibatkan penekanan pembangunan infrastruktur mampan untuk mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan keindahan semula jadi rantau ini dan meminimumkan kesan alam sekitar.

Beliau menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk menggalakkan pelancong mengambil bahagian dalam pengalaman dan inisiatif budaya selain memupuk rasa tanggungjawab serta pemilikan warisan semula jadi dan budaya Sarawak.

"Sebagai sebahagian daripada strategi, kita telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa dan meningkatkan pengiktirafan global kami.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita melancarkan kempen United Kingdom with National Traveller (UK) and dan TripAdvisor, menyediakan artikel dan video infromatif kepada bakal pelancong,” katanya.

Melalui usaha ini, beliau berkata Sarawak telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa termasuk Global Communications Campaign Award daripada DAVOS World Communications Forum Award (WCFA) 2023; Campaign of the Year award di MPRA 2023 for the Rainforest World Music Festival: The Comeback Stronger Brand Story; Product Brand Development Award (B2C) - Rainforest World Music Festival: The 'Comeback Stronger' Brand Story - Gold Award, Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2023.

Sustainability Award - Sarawak Rainforest World Music Festival: A Compelling Comeback Story of Sustainability - Gold Award, Malaysia Public Relations Awards (MPRA) 2023; dan Wanderlust Reader Travel Awards 2023 - No. 10, Most Desirable Region in World category dalam Wanderlust Reader Travel Awards 2023.

“Ia bukan sahaja mengenai menganjurkan konsert (merujuk kepada Rainforest World Music Festival), ia adalah tentang memupuk rasa perpaduan. Kita mempunyai tujuan menyatukan masyarakat melalui penghargaan bersama terhadap budaya, warisan dan muzik.

“Kita berhasrat untuk memupuk pemeliharaan budaya, memperjuangkan amalan bertanggungjawab dan mencipta pengalaman tidak dapat dilupakan untuk pelancong. Komitmen kami melangkaui masa kini, mencapai kelestarian, berhasrat untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan meninggalkan warisan untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA