POLIS RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM400,000 DI MIRI

Datuk Mancha Ata. (File photo)
24/01/2024 01:30 PM

KUCHING, 24 Jan (Bernama) -- Dua lelaki ditahan bersama dadah pelbagai jenis bernilai RM426,600 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Miri, pada 19 dan 21 Jan lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dalam kes pertama pada 19 Jan, polis  menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas dua paket serbuk disyaki campuran ekstasi seberat 54.7 gram. 

Beliau berkata susulan penangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah apartmen di Taman Piasau Indah dan menemukan pelbagai jenis dadah seperti serbuk disyaki campuran ekstasi, pil ekstasi dan ketamin.

"Semua dadah yang dirampas daripada suspek pertama adalah dianggarkan bernilai RM152,700.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 21 Jan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes kedua pula, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama sebuah bagasi mengandungi 8,300 gram dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM273,900 di Lapangan terbabng Miri pada 21 Jan lepas.

Mancha berkata hasil siasatan mendapati suspek telah membawa masuk dadah dari Semenanjung ke Miri melalui laluan udara dengan upah sebanyak RM8,000. 

“Suspek juga telah diarah untuk membawa dadah tersebut ke Sabah dan urusan penerbangan serta penginapan diuruskan oleh sindiket,” katanya.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama lima hari bermula 22 Jan lepas, manakala kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA