SANTUBONG JADI PILIHAN CUTI AKHIR TAHUN 

27/12/2023 07:41 PM

KUCHING, 27 Dis (Bernama) -- Gunung Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) dari bandar raya Kuching menjadi destinasi pilihan keluarga semasa cuti persekolahan akhir tahun kini.

Gunung yang sinonim dengan kisah legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang itu menawarkan keindahan flora dan fauna yang tiada di kawasan bandar.

Wakil pengusaha inap desa kawasan Santubong, Do Re Mi Zaini berkata tempahan inap desa di kawasan itu telah penuh hingga awal bulan depan.

Katanya, pelanggan yang membuat tempahan tidak hanya terdiri daripada kalangan keluarga, malah terdapat juga pihak lain seperti sekolah yang turut menempah.

“Buat masa ini memang penuh (tempahan), apabila hujung tahun pihak sekolah juga ada anjur pelbagai aktiviti untuk pelajar-pelajar yang bercuti termasuk aktiviti melibatkan sukan petanque di sini. 

“Selain itu, biasanya pengunjung ke Santubong melakukan pelbagai aktiviti termasuk berkelah di tepi pantai, mendaki gunung serta pergi ke laut untuk melihat ikan lumba-lumba,” katanya semasa dihubungi Bernama.

Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 17 pengusaha inap desa aktif di kawasan Santubong yang menawarkan pelbagai jenis rumah daripada jenis kayu tradisional sehingga rumah batu moden.

Penyelaras inap desa Santubong di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu berkata kadar harga yang ditetapkan juga bergantung kepada keluasan bilik atau rumah.

“Kita menawarkan harga serendah RM150 satu malam untuk sebuah bilik. Harga juga ditetapkan bergantung kepada jumlah orang yang akan berada di dalam bilik atau rumah berkenaan,” katanya. 

-- BERNAMA