PROGRAM MOTAC @ BINTULU DARI 29 HINGGA 31 DIS 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia fb
22/12/2023 09:51 PM

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu akan menganjurkan program MOTAC @ Bintulu bermula 29 hingga 31 Dis ini.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan diadakan di Lapang Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama) di Bintulu.

Menurutnya fokus utama program itu adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan melalui bidang perniagaan, penjualan produk kraftangan dan persembahan kesenian.

“Program itu juga memberi peluang kepada penduduk setempat serta pelancong mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan Malaysia melalui aktiviti seni, budaya dan warisan, khususnya melibatkan komuniti Bintulu,” menurut kenyataan itu.

MOTAC @ Bintulu juga bakal menyediakan Festival “Kraf Borneo Kita” yang akan berlangsung sehingga 7 Jan depan melibatkan 75 usahawan kraf tempatan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

Selain itu, pelbagai jualan produk makanan dan minuman melibatkan 100 gerai serta persembahan pentas dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian, nyanyian, persembahan buskers dan band tempatan bakal diadakan.

Majlis Perasmian program itu bakal disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada 8 malam, 31 Dis.

-- BERNAMA